Sabah tanah harapan BN kembalikan keyakinan rakyat - Nurulhidayah Zahid

 

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) perlu bangkit dengan semangat baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) DU Sabah kali ini, bukan kerana dendam politik tetapi untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan sebenar parti itu.

Anak kepada Pengerusi BN, Nurulhidayah Zahid, berkata Sabah kini menjadi tanah harapan untuk BN menyemai semula perjuangan berasaskan kasih, perpaduan dan keikhlasan, demi kestabilan dan kemajuan rakyat.

“Dalam politik, tidak setiap langkah membawa kemenangan segera. Allah tidak pernah menutup jalan bagi mereka yang ikhlas berjuang. 

“Kadang ujian datang bukan untuk melemahkan, tetapi untuk mendidik hati agar lebih kuat dan matang,” katanya dalam ciapan di Instagramnya, hari ini.

Menurutnya, perjuangan BN bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya bagi membina semula kepercayaan rakyat terhadap nilai-nilai perjuangan seperti pengalaman, kestabilan dan kejujuran dalam berkhidmat.

“BN mesti jadi wadah ketenangan dan kepastian ketika politik negara penuh ketidaktentuan. Rakyat mahu melihat siapa yang benar-benar bekerja, bukan sekadar bercakap,” katanya.

Nurulhidayah menegaskan bahawa kekuatan sebenar BN bukan terletak pada angka atau jawatan, tetapi pada kesetiaan dan keikhlasan perjuangan.

“Biarlah orang berbicara dan ada yang meremehkan, kita tidak perlu balas dengan kata-kata. Tunjukkan hasil kerja. 

“Rakyat akan menilai siapa yang konsisten dan siapa yang terus berkhidmat walau diuji,” katanya.

Beliau berkata, BN perlu memanfaatkan peluang di Sabah sebagai platform memperkukuh perpaduan dan menyatukan semula tenaga dalam menghadapi cabaran politik baharu.

“Kita yakin, dengan izin Allah dan keikhlasan perjuangan, kemenangan akan tiba. Dan kemenangan itu bukan milik individu, tetapi kemenangan bersama iaitu kemenangan semangat, kesetiaan dan maruah BN yang tidak pernah hilang arah di bumi bertuah Sabah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama