KOTA KINABALU: Akademi
Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Perdana Menteri berjaya menghimpunkan lebih
2,000 peserta daripada pelbagai latar belakang sempena Program Rancakkan MADANI
Sabah.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh
Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad berkata, rakyat Sabah telah lama
menghayati semangat MADANI melalui kehidupan masyarakat majmuk yang harmoni dan
saling menghormati antara satu sama lain.
“Kepelbagaian suku kaum, agama, budaya
dan bahasa di Sabah adalah aset besar yang menyumbang kepada keharmonian serta
kekuatan perpaduan.
"Inilah nilai yang menjadi roh
kepada gagasan MADANI iaitu perpaduan dalam kepelbagaian yang membentuk jati
diri bangsa,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut pada Ahad.
Menurut beliau, konsep MADANI bukan
sesuatu yang asing bagi rakyat Sabah kerana keharmonian di negeri ini telah
lama menjadi teladan kepada seluruh Malaysia.
“Kajian linguistik menunjukkan Sabah
memiliki 34 suku kaum dan 54 dialek, namun masyarakatnya hidup dalam suasana
saling menghormati dan berkasih sayang tanpa mengira agama atau kaum.
"Inilah semangat sebenar MADANI,
masyarakat yang beradab, bersatu dan memuliakan perbezaan,” tambahnya.
Sementara itu, peserta program yang
juga pelajar Universiti UNITAR, Cristina
Heartday menjelaskan penyertaannya dalam program berkenaan memberi
inspirasi baharu kepada golongan muda untuk memahami nilai-nilai MADANI dengan
lebih mendalam.
“Saya rasa teruja kerana pertama kali
menyertai program seperti ini. Ia membuka minda tentang makna sebenar MADANI
dan wajar diteruskan supaya lebih ramai pelajar IPTA serta IPTS turut
terlibat,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, pelajar Institut
Pendidikan Guru Kampus Kent, Mohamad Firdaus Mohd Sidek berkata, pelaksanaan
program di Sabah memberi impak positif terhadap pembentukan sahsiah
belia.
“Kem Generasi MADANI membantu membentuk
karakter yang lebih beradab dan berfikiran matang. Selain itu, ia juga membuka
ruang kepada masyarakat untuk saling membantu terutama dalam menyantuni
golongan memerlukan,” jelasnya.
Penganjuran Rancakkan MADANI Sabah
sekali lagi menegaskan bahawa semangat MADANI bukan sekadar slogan, sebaliknya
nadi yang telah lama berdenyut dalam kehidupan rakyat Sabah yang menjadikan
kepelbagaian sebagai sumber kekuatan, dan perpaduan sebagai asas kemajuan
negara
Program tersebut menjadi wadah penting
dalam memperkukuh kefahaman serta penghayatan terhadap gagasan Malaysia MADANI
yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan tanggungjawab sosial,
selaras aspirasi membina masyarakat bersatu serta negara makmur.
