![]() |
| Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2025 Tracey Jefirin dari Kota Marudu menerima anugerah dar Dr Bustam dan diperhati oleh Dr Mornie. |
KOTA KINABALU: Seramai 96 graduan Kolej SIDMA diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-11 yang berlangsung penuh meriah di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, hari ini.
Daripada jumlah itu, 75 graduan menamatkan pengajian dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, manakala lima (5) masing-masing dalam Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Diploma Pengurusan Sukan, dan 11 lagi dalam Diploma Pengurusan.
Majlis disempurnakan oleh Profesor Dr. Bustam Kamri, dari Fakulti Pengurusan Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti MAIWP, dan turut dihadiri Pengerusi Kolej SIDMA, Prof. Dr. Morni Kambrie, ahli lembaga pengarah serta warga pengurusan kolej.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Bustam berkata program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, yang menjadi tunjang utama kolej berkenaan, berjaya melahirkan tenaga pendidik profesional yang memahami keperluan pembangunan awal kanak-kanak selaras dengan dasar pendidikan negara.
“Kolej SIDMA juga berjaya melaksanakan program baharu seperti Diploma Pengurusan Sukan, yang bertepatan dengan keperluan industri semasa serta membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang pembangunan sukan tempatan dan kebangsaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan adalah perjalanan sepanjang hayat dan kejayaan yang diraikan pada hari ini hanyalah permulaan kepada cabaran dunia sebenar.
“Pendidikan tidak berakhir dengan penganugerahan diploma. Teruslah menimba ilmu, mengasah kemahiran dan mengamalkan nilai positif untuk menjadi insan berdaya saing dan berintegriti,” katanya.
Majlis turut menyaksikan Tracey Jefirin dari Kota Marudu diumumkan sebagai Penerima Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2025 bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan disiplin tinggi beliau sepanjang pengajian.
Kolej SIDMA terus memperkukuh kualiti akademik melalui kerjasama strategik bersama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam menawarkan pelbagai program di peringkat Asasi, Ijazah Sarjana Muda dan Pascasiswazah termasuk Ijazah Sarjana Pendidikan (M.Ed), Ijazah Sarjana Pengurusan (MIM) serta Doktor Falsafah (PhD).
Kerjasama itu membuka peluang kepada pelajar SIDMA untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui program pemindahan kredit dan laluan akademik yang fleksibel.
Majlis konvokesyen tahun ini bukan sahaja meraikan kejayaan akademik pelajar, tetapi turut mencerminkan komitmen berterusan Kolej SIDMA dalam melahirkan graduan beretika, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
