![]() |
| Gambar ihsan Bomba |
SANDAKAN: Sebuah rumah dua tingkat yang turut menempatkan bengkel membaiki kereta di tingkat bawah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Taman Fuliwah, Batu 3½ di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 4.42 pagi.
Beliau berkata, 15 anggota bersama empat jentera dari BBP Sandakan dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal serta bengkel membaiki kereta di tingkat bawah dengan keluasan kira-kira 50x50 kaki.
“Keseluruhan struktur terbakar 100 peratus, manakala dua buah kenderaan jenis Proton Iswara dan Perodua Bezza turut terkena bahangan api,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, menggunakan sumber air dari jentera bomba dan water tanker.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.02 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 6.09 pagi selepas kerja-kerja pemantauan dan pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan,” katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
