SEMPORNA: Taktik seorang lelaki warga asing mengedar dadah di sekitar daerah ini akhirnya tumpas apabila dia ditahan polis dalam satu operasi minggu lalu.
Suspek berusia lingkungan 40-an itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Balai Polis Pulau Bum Bum di Kampung Sri Jaya, kira-kira jam 11.30 pagi pada 21 Oktober lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui satu beg silang berwarna hitam bertulis New York, Los Angeles, Tokyo, London, Paris.
“Hasil pemeriksaan lanjut dalam beg itu menemukan satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi empat peket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat kasar rampasan ialah 200.54 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM22,059.40,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Beliau menegaskan, polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit.
“Kerjasama orang awam amat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.
 
