Sabah formalisasi perolehan 25 peratus pegangan dalam PETRONAS PFLNG 3

 

KOTA KINABALU: Sabah telah memformalisasikan pengambilalihan 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, satu langkah yang memperkukuh lagi sinergi antara syarikat petroleum nasional dan negeri Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Langkah ini bukan sahaja akan memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan negeri Sabah, tetapi juga akan membuka potensi bagi kerjasama seumpama ini pada masa hadapan,” katanya.

Sabah, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), telah menandatangani perjanjian muktamad dengan PETRONAS LNG Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS, bagi memformalisasi pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, yang juga dikenali sebagai ZLNG, di sini hari ini.

Langkah ini adalah susulan kepada pemeteraian Kepala Perjanjian bagi cadangan pengambilalihan tersebut yang disaksikan oleh Ketua Menteri dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, di Kuala Lumpur pada 17 Julai tahun ini.

PETRONAS PFLNG 3 sedang membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (FLNG) bernilai USD3.1 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun 2027, PFLNG 3 direka dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2 juta tan setahun (2.0 MTPA).

Pelaburan strategik ini merupakan tambahan terkini kepada portfolio pelaburan pelbagai SMJ Energy yang sedia ada, di mana syarikat itu kini memegang 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract, 10 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (loji petrokimia SAMUR), serta pemilikan penuh Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.

SMJ Energy juga memegang hak "free carry dan back-in rights" dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%), dan SB306B (15%).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama