Kita tidak bercakap banyak, tetapi kita bekerja – Razali

 

DARAU: Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Darau, Datuk Razali Razi menegaskan bahawa kekuatan sebenar parti bukan terletak pada sembang politik, sebaliknya tindakan itu adalah hasil kerja nyata untuk rakyat.

Menurutnya, prinsip itu menjadi asas kepada perjuangan GRS di peringkat akar umbi yang kini semakin mendapat kepercayaan penduduk di kawasan Darau. 

“Rakyat mahu melihat sistem penyampaian (delivery system) yang berkesan, bukan hanya janji,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Ketua Wiranira STAR N.17 Darau yang bertempat di Dewan Serbaguna Koperasi Yayasan Sabah Berhad (KPYSB), Kampung Warisan, di sini, hari ini.

Menurut Razali, penghijrahan yang dibuat itu menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Sokongan ini membuktikan rakyat menilai berdasarkan tindakan, bukan kata-kata. Mereka melihat hasil kerja kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji yang berterusan membawa pembangunan dan kesejahteraan,” ujarnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang tawaran atau ganjaran diberikan kepada mana-mana pihak, semuanya dilakukan secara sukarela.

“Ditawarkan? tiada tawaran sedemikian. Tidak ada istilah mencuri. Ini adalah perpindahan. Kita berhijrah untuk mencari kebaikan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menambah bahawa GRS Bahagian Darau kini dalam fasa memperkukuh jentera bagi Pilihan Raya Umum (PRHU Negeri Sabah yang akan datang.

“Kami sudah bekerja lebih tiga tahun. Jentera sudah siap siaga dan kami lebih bersedia daripada sebelumnya. Fokus kami adalah untuk terus memperkukuh keyakinan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan dan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan. 

“Kita mahu kesinambungan (continuity) dan keseimbangan (stability). Kalau setiap lima tahun kerajaan bertukar, dasar pun berubah, bantuan juga bertukar dan yang rugi akhirnya rakyat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama