Razali beri isyarat ‘thumbs up’ spekulasi tanding DUN Darau

Datuk Mohamed Razali Razi (tengah) bersama Nollyzai Datuk Awg. Sham, mantan Ketua Wiranita STAR N17 Darau (tiga Dari kanan) menyertai GRS di Dewan Serbaguna Koperasi Yayasan Sabah Berhad (KPYSB), Lorong Bakti Ikhlas, Kg. Warisan...

INANAM: Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi tidak menolak kemungkinan beliau bakal dicalonkan di kerusi Dewan Undangan (DU) Sabah, N17 Darau pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah akan datang.

Razali ketika ditanya wartawan sama ada beliau akan bertanding atau tidak, hanya memberikan isyarat “dua thumbs up”, sekali gus menambah spekulasi mengenai kedudukannya sebagai bakal calon.

Dalam reaksinya, Razali berkata jentera parti di kawasan Darau telah bersiap siaga sejak tiga tahun lalu dan berada dalam kedudukan yang kukuh serta boleh digerakkan pada bila-bila masa.

Mengulas khabar angin kononnya terdapat tokoh media turut mengintai kerusi Darau, Razali menegaskan fokus Gagasan Rakyat adalah kerja lapangan, bukan spekulasi politik atau rumor yang tular.

Ditanya mengenai tawaran kepada pengundi sekiranya bertanding, Razali berkata manifesto khusus bagi Darau hanya akan diumumkan pada masa yang sesuai bagi mengelakkan idea parti diciplak pihak lain.

Nama Razali sebelum ini antara yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk PRN Sabah, terutama selepas pengaruhnya dilihat semakin meningkat di peringkat bahagian.

Antara nama lain yang dikatakan turut mengintai untuk bertanding di kerusi DUN Darau termasuk penyandang daripada Parti Warisan (Warisan), Azhar Matussin, serta Ketua Editor Nabalu News yang juga Ketua Pemuda Upko Sepanggar, Fardy Bungga.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama