Saksi pernah dengar arwah Zara mahu jadi seperti dirinya

 

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak ke-23 dalam prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pada Selasa, memberitahu mahkamah bahawa beliau pernah mendengar daripada rakan-rakan bahawa pelajar tingkatan satu itu menjadikannya sebagai idola dan mahu menjadi seperti dirinya.

Peguam mewakili ibu Zara, Rizwandean M Borhan berkata, saksi turut mengakui berasa teruja dan gembira selepas membaca kandungan diari milik arwah beberapa hari selepas kejadian pada 16 Julai lalu.

“Katanya, seorang guru telah menunjukkan kandungan mengenai dirinya dalam diari berkenaan melalui telefon bimbit di surau sekolah. 

“Tujuan guru tunjukkan isi kandungan buku diari tersebut adalah untuk menunjukkan pandangan arwah kepada saksi. 

“Ketika guru berkenaan menunjukkan diari tersebut, beberapa guru lain turut berada di lokasi sama,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini.

Menurutnya, saksi yang merupakan Pengawas Badar di sekolah itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mengenali Zara sebagai pelajar yang baik, ceria dan sopan, selain sering memberi salam serta menghormati pelajar senior. 

“Arwah juga pernah meminta bantuannya untuk belajar bahasa Arab dan berhasrat mahu berkawan dengannya.

“Beliau pernah mendengar daripada rakan-rakan bahawa Zara menjadikan dirinya sebagai idola dan mahu menjadi seperti beliau.

“Menurut saksi, tanggungjawab seorang ahli badar ialah mengurus program dakwah, termasuklah mengurus bahagian surau dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan agama,”jelasnya. 

Saksi memaklumkan kali terakhir beliau melihat Zara ialah pada 15 Julai kira-kira jam 2 petang di surau sekolah. 

“Pada 16 Julai 2025 sekitar jam 3 pagi. Saksi terbangun disebabkan oleh bunyi jam loceng. Selepas saksi bangun, dia nampak dua orang kawan di koridor dan nampak keadaan macam kecoh. 

“Saksi pun keluar koridor dan ikut kawan saksi turun tangga. Bila dia turun tangga, dia nampak dan mengecam badan arwah Zara di aras bawah,” katanya. 

Selepas kejadian itu, saksi berkata, beliau ada mendengar khabar mengenai tuduhan kecurian yang dikaitkan dengan arwah, namun menegaskan tidak mengetahui lebih lanjut tentang perkara tersebut.

Prosiding inkues Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu yang ditemui tidak sedarkan diri di asrama pada 16 Julai lalu, akan bersambung esok dengan mendengar keterangan saksi kanak-kanak ke-24.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama