|  | 
| Gambar ihsan Bomba | 
TAMPARULI: Seorang pemandu lori maut manakala pembantunya cedera selepas lori membawa muatan minyak masak yang dinaiki mereka terbabas di Murug-Turug Eco Tourism (MTET), Jalan Ranau–Tamparuli, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 1.02 tengah hari itu, lori jenis Nissan 10 tan itu dilaporkan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 dan pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.39 tengah hari.
Katanya, terdapat dua mangsa lelaki berusia 18 dan 30 tahun dalam kenderaan berkenaan ketika kejadian berlaku.
"Sebaik tiba di lokasi, seorang mangsa didapati sudah dikeluarkan oleh orang awam, manakala seorang lagi tercampak keluar dari kenderaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba menggunakan pengusung (stretcher) untuk membawa mangsa kedua naik dari lokasi jatuh sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan ambulans KKM untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.10 petang selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat," katanya.
