PBS kekal jadi tonggak kukuh bantu GRS kekal kuat – Joniston

 

KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) berupaya memikul tanggungjawab membantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal kuat dan dominan meskipun Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan berkenaan.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata keputusan dua parti itu tidak menjejaskan semangat dan kekuatan GRS, malah pihaknya kekal tenang kerana telah melalui pelbagai cabaran politik yang lebih getir sebelum ini.

“Ini adalah lumrah demokrasi. Namun dalam masa sama, kestabilan dan perpaduan tidak boleh diabaikan, dan di sinilah peranan PBS terus dimainkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program ramah mesra bersama penduduk di Kampung Rungus Panansawa, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan GRS itu turut menegaskan kekuatan PBS dalam GRS berpaksikan kepada konsistensi, kepimpinan berakar umbi serta pengalaman luas parti itu dalam mengharungi perubahan landskap politik negeri.

“Kita telah melalui banyak fasa perubahan, namun prinsip kita tetap sama, iaitu berkhidmat dengan dedikasi dan mengutamakan rakyat.

“PBS sentiasa menjadi pemangkin kestabilan dalam GRS, memastikan gabungan ini terus memenuhi harapan rakyat Sabah,” katanya.

PBS merupakan antara enam parti komponen dalam GRS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama