SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah apabila memiliki hampir 1.5 kilogram syabu dalam serbuan di sebuah rumah atas air di kawasan Setinggan Batu 3, di sini, awal pagi tadi.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sandakan sekitar jam 5 pagi hasil maklumat risikan dan pemantauan rapi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1,464.4 gram.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM48,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
"Suspek dipercayai bertindak sebagai pengedar dan penjaga stor penyimpanan dadah di premis terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.
George berkata, kejayaan itu hasil komitmen berterusan pasukan polis dalam membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.
“Polis Sandakan akan terus memperhebat usaha dan tindakan bagi memastikan jenayah dadah dapat dibanteras habis-habisan.
"Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya.
 

