|  | 
| Gambar ihsan Bomba | 
KINABATANGAN: Seorang pemandu lori tersepit manakala empat lagi cedera selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Segaliud, Kinabatangan, kemarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.48 petang melalui talian balai.
Beliau berkata, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah van Toyota Hiace bertembung dengan sebuah lori, dengan lima mangsa dilaporkan terlibat dalam nahas itu.
"Seorang pemandu lori tersepit di tempat duduknya dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas penyelamat.
"Empat lagi mangsa yang menaiki van penumpang turut mengalami kecederaan, termasuk seorang penumpang di bahagian hadapan yang juga tersepit sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan rescue tools," katanya.
Kesemua mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut di hospital berdekatan.
Seramai tujuh anggota bomba dari BBP Kinabatangan dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.
Beliau berkata, operasi dikawal sepenuhnya pada jam 11.35 malam selepas memastikan kawasan kejadian selamat dan tiada lagi risiko lain.
“Pasukan bomba kemudian menamatkan operasi sepenuhnya selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” ujarnya.
 
