KOTA KINABALU: Keluarga kepada Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, pegawai komando yang maut ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi enam tahun lalu, memfailkan saman terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa pihak lain atas dakwaan kecuaian hingga menyebabkan kematiannya.
Peguam keluarga, Datuk Ansari Abdullah, berkata tindakan itu bukan sekadar menuntut pengisytiharan kecuaian, sebaliknya turut membabitkan tindakan melulu (recklessness) dan pelanggaran tanggungjawab di bawah undang-undang.
“Prosiding ini melibatkan tuntutan daripada ibu, bapa dan adik Allahyarham Zahir.
"Sekiranya mahkamah menerima tuntutan ini, keluarga juga memohon agar ganti rugi sewajarnya diperintahkan dan dibayar atas kematian arwah yang telah dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel selepas meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata, saman itu difailkan dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang iaitu sebelum tiga tahun dari tarikh kejadian pada 4 September 2019.
“Kami memfailkan sebelum tiga tahun, itu had masa yang ditetapkan. Kes ini kemudian dipindahkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Alexander Siew How Wai selepas hakim asal kurang sihat,” katanya.
Menurut Ansari, tindakan undang-undang itu dibuat kerana pihak atasan didakwa gagal memastikan keselamatan semasa demonstrasi dijalankan.
"Tuntutan itu difailkan terhadap individu yang melepaskan tembakan, pegawai-pegawai atasan termasuk Ketua Angkatan Tentera Malaysia, pihak polis kerana gagal menyiasat dan mengambil tindakan, serta pihak hospital yang didakwa tidak memberi kerjasama," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyerahkan soal jumlah ganti rugi kepada budi bicara mahkamah.
“Setakat ini kami bercadang memanggil tujuh saksi, namun seorang saksi penting yang pernah menjalani latihan bersama arwah sebelum demonstrasi masih belum dapat dikesan,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, anak kepada pelakon veteran AR Badul, maut ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah, pada 4 September 2019.
 
