KOTA KINABALU: Kenyataan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menuduh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor 'menjual ubat' adalah cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbiran WARISAN ketika menjadi kerajaan negeri sebelum ini.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata rakyat negeri ini mampu menilai pemimpin yang bekerja untuk mereka.
"Shafie boleh menuduh apa sahaja, tetapi rakyat tahu siapa yang sebenarnya menjual janji dan siapa yang bekerja dalam diam membawa hasil kepada Sabah.
"Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan slogan kosong seperti yang cuba digambarkan, tetapi satu pelan pembangunan negeri yang telah menunjukkan kesan ketara dalam tempoh singkat.
"Di bawah kepimpinan Hajiji, hasil negeri Sabah mencapai paras hampir RM7 bilion pada tahun 2024. Hasil pendapatan ini merupakan hasil reformasi fiskal dan pentadbiran baharu yang memastikan kewangan Sabah ditadbir dengan baik.
"Pada masa yang sama, pelaburan bernilai RM11.37 bilion telah dicatatkan bagi tempoh Januari sehingga Jun 2025," katanya.
Mengulas berkenaan isu bekalan air yang dijadikan sebagai modal politik oleh WARISAN, Nizam berkata kerajaan dibawah pentadbiran GRS sedang melaksanakan 18 projek infrastruktur air di seluruh negeri.
"Ini termasuk Projek Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar, dan Projek Menaiktaraf Muka Sauk Kabang yang dijangka siap tahun hadapan.
"Projek-projek ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memastikan akses air bersih yang mampan kepada rakyat Sabah, bukan janji “setahun selesai” seperti yang pernah dicanang oleh WARISAN.
"Usaha ini turut melibatkan pembinaan empangan baharu, pembesaran loji sedia ada dan naik taraf sistem agihan air yang berpuluh tahun diabaikan.
"Di bawah pelan SMJ, jalan luar bandar telah dinaik taraf atau dibina semula bagi membuka akses kepada kawasan pedalaman dan mempercepat pembangunan ekonomi luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Nizam turut menambah GRS turut memperkenalkan inisiatif Rumah Mesra SMJ dimana sebanyak lebih 7,000 unit rumah disiapkan untuk rakyat Sabah.
Selain itu, katanya GRS turut memperluaskan skim Bantuan Tunai SMJ yang meringankan beban rakyat berpendapatan rendah di negeri ini.
"Semua ini adalah hasil kerja keras kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji.
"Rakyat Sabah tidak lupa bahawa semasa WARISAN berkuasa, pelaburan besar hanya diumumkan di atas kertas, krisis air semakin teruk, dan banyak projek rakyat terbengkalai selepas dua tahun mentadbir.
"GRS tidak 'menjual ubat'. GRS sedang menyembuhkan kesan daripada pentadbiran lama yang gagal.
"Di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah bergerak dengan tenang, berasaskan fakta dan hasil, bukan retorik. Rakyat tidak lagi perlukan sandiwara politik lama. Mereka mahu kerajaan yang bekerja, bukan yang berjanji," katanya.
 
