18 PATI ditahan dalam Ops Imigresen di Keningau, Semporna

 

KOTA KINABALU: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Keningau dan Semporna, minggu lalu.

Operasi yang dijalankan selama dua hari bermula 28 hingga 29 Oktober lalu itu membabitkan 13 pegawai penguat kuasa dari kedua-dua daerah menerusi Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja. 

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat risikan dan orang awam berkaitan kehadiran PATI di daerah berkenaan. 

Katanya, operasi bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam itu telah memeriksa seramai 90 individu sebelum 18 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua warga Pakistan, 14 warga Filipina dan dua warga Indonesia. 

"Semua ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi memastikan kehadiran PATI di negeri ini dapat dibanteras sepenuhnya.

“Jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau membenarkan PATI tinggal di premis masing-masing.

“Kami juga menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama