Tulisan tangan individu lain ditemui dalam buku milik Zara Qairina

 

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa terdapat tulisan tangan milik individu lain dalam sebuah buku milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang menjadi sebahagian daripada bahan bukti dalam prosiding inkues kematian remaja berkenaan.

Pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, berkata hasil pemeriksaan terhadap buku nota bertanda ‘W3’ bertajuk Diamonds, mendapati tulisan tangan yang terdapat pada beberapa muka surat bukan milik arwah.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 dalam buku ‘W3’ menunjukkan perbezaan signifikan daripada ciri-ciri tulisan contoh milik Zara Qairina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan saksi dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Menurut Nurul Atiqah, tulisan tangan pada muka surat pertama buku itu pula didapati sebagai campuran antara tulisan arwah dan seorang individu lain.

“Saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan itu bukan ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina),” katanya. 

Buku bertarikh antara November 2024 hingga Mei 2025 mengandungi 103 muka surat yang telah dinomborkan, dan catatan di dalamnya bertarikh antara 16 November 2024 hingga 24 Mei 2025.

Ia merupakan satu daripada beberapa dokumen yang diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis dari segi ketulenan tulisan tangan.

Nurul Atiqah memaklumkan, kesemua dokumen lain yang diperiksa termasuk helaian kertas bertanda ‘Y1’ hingga ‘Y15’, serta dua lagi buku bertanda ‘W1’ dan ‘W2’, disahkan ditulis oleh arwah sendiri selepas pemeriksaan perbandingan dijalankan.

“Kesemua dokumen lain menunjukkan persamaan ciri yang mencukupi dengan tulisan tangan arwah. Hanya buku ‘W3’ mengandungi tulisan tangan yang tidak sepadan,” katanya.

Selesai pemeriksaan, semua dokumen telah dimeterai semula menggunakan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia sebelum diserahkan kepada polis pada 2 September lalu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama