20 spesimen tulisan tangan yang dipertikai dibawa ke Mahkamah Koroner



KOTA KINABALU: Sebanyak 20 beg barang kes yang mengandungi dokumen tulisan tangan dipertikai dibawa ke Mahkamah Koroner hari ini, berhubung inkues kematian kanak-kanak, Zara Qairina Mahathir.

Barang kes bertanda “W1” hingga “W6”, “Y1” hingga “Y7” dan “Y9” hingga “Y15” diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis, termasuk diari dan buku nota yang dipersoalkan dalam siasatan.

Pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh, 44, berkata beliau berkhidmat lebih 21 tahun di Jabatan Kimia Malaysia sejak 2004 dan diwartakan sebagai pemeriksa dokumen pada 2006.

Beliau yang juga Pegawai Sains itu sudah terlibat dalam 620 kes forensik, termasuk 120 kes berkaitan pengesahan tulisan tangan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Katanya, beliau menjalankan pemeriksaan terhadap semua tulisan tangan menggunakan kanta pembesar serta peralatan saintifik Video Spectral Comparator.

Hasil perbandingan mendapati tulisan tangan yang dipertikai pada “Y1” hingga “Y7”, “Y9” hingga “Y15” serta “W1” dan “W2” menunjukkan persamaan signifikan dengan contoh tulisan tangan milik arwah.

“Berdasarkan ciri persamaan yang mencukupi, saya berpendapat tulisan tangan tersebut ditulis oleh penulis contoh,” katanya di hadapan Koroner Shah Amir Hassan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tulisan tangan pada “W3” menunjukkan keputusan bercampur, dengan sebahagian muka surat ditulis oleh arwah, manakala selebihnya berbeza serta tidak ditulis oleh individu sama.

“Malah, pada muka surat pertama “W3”, terdapat campuran tulisan tangan penulis contoh bersama seorang lagi individu,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama