KENINGAU: Sokongan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) terhadap Parti Warisan didakwa semakin meningkat selepas kemasukan beramai-ramai ahli daripada beberapa parti politik tempatan sejak kebelakangan ini.
Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, perkembangan itu membuktikan perubahan besar berlaku apabila ramai ahli baharu daripada STAR, PBS, KDM dan PBRS memilih untuk menyertai Warisan.
Menurutnya, peningkatan sokongan itu jelas dilihat apabila kepimpinan akar umbi parti lain, termasuk Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan STAR di Tenom, mengumumkan keluar parti dan menyertai Warisan.
Katanya, perkara sama turut berlaku di kawasan lain apabila beberapa ahli PBS bertindak meninggalkan parti, manakala di Inanam pula hampir 300 ahli baharu menyertai Warisan.
"Ini petanda baik yang menunjukkan ada perubahan dalam senario politik Sabah.
"Malah, bukan hanya STAR dan PBS, terdapat juga kemasukan ahli daripada PKR, PBRS serta Parti KDM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Inspirasi DSSA Bersama Rakyat di Kampung Binaong, di sini, semalam.
Shafie berkata, gelombang kemasukan itu menzahirkan harapan masyarakat agar suara orang Sabah lebih kuat dan didengari kerajaan Persekutuan.
Setakat ini, Warisan dilaporkan menerima 7,623 ahli baharu dari pelbagai parti politik di seluruh Sabah sejak Ogos lalu.
