KOTA KINABALU: Persatuan Masyarakat Murut Sipitang (PMMS) kesal dengan kenyataan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa menyatakan etnik Murut dengan gelaran 'Murut kafir' dalam ucapannya di Melalap, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan persatuan terbabit menyifatkan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah itu menyinggung perasaan masyarakat Murut serta mencemarkan maruah dan identiti etnik tersebut.
"Istilah "kafir" tidak seharusnya digunakan terhadap sesuatu bangsa kerana ia berunsur penghinaan, berpotensi menimbulkan salah faham,dan boleh mengugat keharmonian antara kaum serta agama di Sabah.
"Sehubungan itu, PMMS menuntut Datuk Seri Shafie Apdal selaku Presiden Parti Warisan agar memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Murut di Sabah.
"Kami menyeru agar semua pemimpin politik lebih berhati-hati dalam mengeluarkan ucapan, khususnya yang melibatkan isu sensitif berkaitan kaum dan agama.
"PMMS akan terus memantau dan mengambil langkah sewajarnya demi mempertahankan maruah masyarakat Murut agar tidak dipandang rendah atau dihina oleh mana-mana pihak," jelas dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut menegaskan agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan terutakanya berkaitan perkauman dan agama.
"Sabah terkenal dengan keharmonian dan toleransi antara kaum serta agama.
"Justeru,kami tidak mahu ada mana mana ucapan yang boleh mengguris perasaan, merosakkan perpaduan dan membawa perpecahan dalam masyarakat majmuk negeri ini," jelasnya.