KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar perempuan, Zara Qairina Mahathir, hari ini dimaklumkan tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan dikesan pada tubuhnya selepas terjatuh di asrama sekolah pada 16 Julai lalu.
Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Janefer Voo, berkata pemeriksaan awal hanya mendapati kecederaan serius pada bahagian kepala dan beberapa tulang patah.
“Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit, hanya kecederaan di bahagian belakang kepala serta patah pada tangan kiri dan kedua-dua buku lali,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ketiga prosiding inkues, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tiba di Jabatan Kecemasan HQE pada jam 4.38 pagi itu mengalami kecederaan otak yang teruk selain pendarahan dalaman akibat impak kuat.
“Bahagian belakang kepala mangsa didapati cedera, bengkak dan berdarah. Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku patah tulang tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada buku lali kiri dan patah tertutup pada buku lali kanan.
“Mangsa juga disyaki mengalami tekanan darah rendah kesan kecederaan dalaman,” katanya.
Menurutnya, pasukan perubatan mengaktifkan ‘Trauma Alert’ bagi mendapatkan rawatan segera daripada Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, selain melakukan prosedur resusitasi.
Bagaimanapun katanya, pemeriksaan menyeluruh kemudian mengesahkan mangsa mengalami kecederaan serius lain
“Ia termasuklah pendarahan otak, patah pada tulang belakang lumbar 2, 3 dan 4, patah terbuka pada buku lali serta tumit kiri, patah tertutup pada tangan kiri dan kaki kanan, selain darah beku pada tulang pinggul dan otot psoas kiri,” katanya.