Program Kupi-Kupi bersama Menteri Komunikasi erat hubungan melalui sesi libat urus santai, mesra

 

Fahmi menjawab soalan-soalan dari penduduk kampung.

TAWAU : Program Kupi-Kupi Bersama Menteri Komunikasi anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin bersama rakyat melalui sesi libat urus yang santai dan mesra.

Pendekatan ini membuka ruang kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil untuk bertemu dan menyantuni rakyat secara langsung bagi mendengar pandangan, isu, serta aspirasi masyarakat luar bandar.

Program yang diadakan di Kampung Sungai Imam menjadi antara platform untuk menyampaikan dasar, inisiatif, dan agenda komunikasi kerajaan dengan cara yang lebih mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat kampung.

Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Sungai Imam Jumianah Syaharuddin, 53, selain dapat bertemu dengan pemimpin negara, masyarakat kampung turut dapat mendapatkan informasi yang terkini dan tepat.

“Penduduk-penduduk kampung sangat berpuas hati program ini diadakan di sini kerana dengan cara ini orang kampung dapat melihat keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi.

“Cara program ini dilakukan juga sangat menarik sebab kami masyarakat kampung dapat bertanya soalan dan mendengar jawapan secara bersemuka dari Menteri.

“Walau masa program ini tidaklah lama, namun rata-rata penduduk disini berpuas hati dengan penjelasan-penjelasan yang diberikan,” katanya ketika ditemui selepas acara Program Kupi Kupi Bersama Menteri Komunikasi.

Semasa program tersebut, Fahmi menjawab lapan soalan dari penduduk kampung yang berkaitan scammer, liputan talian internet di luar bandar serta isu-isu semasa selain mendengar beberapa cadangan dari masyarakat Kampung Sungai Imam.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama