![]() |
| Fahmi melihat kelengkapan PRIME. |
Tawau : Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) akan membantu dalam misi menyelamat ketika bencana selain dapat meningkatkan literasi digital di kalangan masyarakat.
PRIME dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sebagai satu sistem komunikasi bersepadu bergerak yang mampu berfungsi dalam apa juga keadaan, terutama ketika berdepan bencana dan gangguan liputan sedia ada.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melancarkan PRIME kedua di Kampung Sungai Imam selepas pelancaran PRIME yang pertama diadakan Cyberjaya pada Jun lepas.
“PRIME ini akan digerakkan bagi membantu pasukan petugas keselamatan dalam misi menyelamat ia juga dapat membantu untuk memastikan mana-mana komuniti yang perlu kita hubungkan mendapat akses talian internet.
“Masalah connectivity semasa bencana kerap dihadapi antaranya seperti insiden tanah runtuh di Batang Kali bukan hanya dihadapi oleh petugas keselamatan dalam mencari mangsa malahan turut dihadapi para petugas media.
“Selain mendapatkan akses internet, sekiranya ada apa-apa maklumat yang ingin disampaikan maka pasukan penyelamat boleh bercakap dengan mangsa yang terperangkap di satu-satu lokasi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran PRIME Peringkat Negeri Sabah di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Imam, Tawau.
Menurut beliau Sabah mempunyai 132 NADI yang mana ada sesetengah kawasan DUN mempunyai satu hingga tiga NADI bergantung kepada geografi kawasan setempat.
“Saya telah mengarahkan supaya unit PRIME ini digerakkan sebagai permulaan di Parlimen Kalabakan untuk menyantuni kawasan-kawasan yang tidak mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk menyampaikan maklumat mengenai keselamatan dalam talian, kempen internet selamat, selain daripada aspek e-kesihatan ataupun teleperubatan.
“Saya telah minta supaya pengurus nadi membawa program-program keluar dan PRIME akan membantu dalam program-program NADI itu mungkin di tempat-tempat yang langsung tidak ada talian.
“Jadi bukan hanya prime akan digerakkan waktu bencana tapi kita akan bawa ke tempat-tempat untuk meningkatkan pemahaman di kalangan komuniti setempat mengenai literasi digital dan keselamatan siber,” ujarnya.
Dalam majlis yang sama, Fahmi turut menyampaikan sumbangan komputer riba kepada tiga pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pendidikan Malaysia.
Selain itu, Fahmi turut memperingatkan kepada masyarakat meskipun mempunyai hak untuk bersuara namun perlu mengelakkan dari memfitnah dan mengaibkan sehingga melakukan pelanggaran undang-undang.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
