![]() |
KENANGAN...Caroline (tengah) bergambar kenangan bersama DJ UMSfm Khairil Fitri Abdul Karim (tiga dari kanan). |
KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput menghadiri Pameran Hari Malaysia 2025 di Jabatan Arkib Negeri Sabah yang dibuka secara percuma bermula pada 9 hingga 13 September ini.
Penolong Kurator Jabatan Muzium Negeri Sabah Caroline Mosigil berkata, pameran sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk menelusuri sejarah pembentukan Malaysia serta menghargai perjuangan pemimpin terdahulu.
"Pameran itu menampilkan artifak bersejarah, dokumen asli, foto lama serta rakaman penting yang membuktikan peranan Sabah dalam pembentukan Malaysia dan ianya penting dalam menyebarkan ilmu pengetahuan untuk masyarakat.
"Selain itu, pameran ini bukan sahaja mengangkat nilai sejarah, malah diharap dapat memupuk semangat patriotisme dan memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai makna sebenar Hari Malaysia.
"Orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri artifak senjata perang yang dibawakan khas pada pameran kali ini dan dibuka secara percuma kepada semua pada 10 hingga 13 September ini, bermula 8 pagi hingga 5 petang.
"Pelbagai aktiviti santai turut disediakan antaranya Merdeka Pop Quiz, Gerai Rahmah dengan makanan berpatutan, Pertandingan Nyanyian Lagu P. Ramlee, Pertandingan Mobile Legends, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak serta Scavenger Hunt," katanya kepada media selepas temu bual bersama Radio UMSfm di Universiti Malaysia Sabah pada Isnin.
Pameran tersebut merupakan kerjasama Jabatan Arkib Negeri Sabah dengan kerjasama Jabatan Muzium Negeri Sabah sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah.
Dalam pada itu, Caroline menjelaskan kemuncak sambutan ialah majlis sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Negeri Sabah pada 16 September di Padang Merdeka, Kota Kinabalu bermula 7 malam yang akan dihadiri kepimpinan tertinggi negeri serta terbuka kepada seluruh rakyat.
"Antara pengisian utama termasuk upacara menaikkan Jalur Gemilang, ucapan penyempurnaan Ketua Menteri Sabah, tayangan montaj dan persembahan khas bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni,'' ujarnya.
Beliau turut berharap orang ramai hadir beramai-ramai ke pameran dan majlis rasmi itu bagi menghayati sejarah, merasai semangat kebersamaan serta menyemarakkan perpaduan rakyat di bawah satu bendera.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)