Kerajaan persekutuan diharap luluskan segera jeti konkrit Sungai Tongkang

 

Jeti kayu yang dibina semula pada Jun lalu.

TAWAU:   Kerajaan persekutuan diharap dapat memberi kelulusan segera kepada projek pembinaan jeti konkrit di Kampung Sungai Tongkang, Pulau Sebatik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata permohonan tersebut telah dikemukakan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sejak tahun 2022 untuk mendapatkan kelulusan namun permohonan itu masih belum diluluskan hingga kini.

"Kita ajukan kepada JPM, mereka telah arahkan ICU untuk melawat tapak dan tapak sudahpun dilawat tetapi tindakan susulan belum ada lagi sampai sekarang.

"Kita minta Majlis Perbandaran Tawau untuk sediakan Dokumen Bil Kuantiti (BQ) dan BQ itu bernilai lebih kurang dalam RM2.5 juta untuk siapkan jeti. 

"Kita minta peruntukan daripada kerajaan persekutuan sebab kerajaan negeri tiada peruntukan begitu besar untuk sebuah jeti. 

Hassan (sembilan dari kiri) merakamkan foto kenangan bersama rombongan Jabatan Penerangan.

"Jeti yang sebelumnya ini memang dibuat daripada kayu, proposal jeti baharu ini dibuat daripada konkrit sepanjang lebih kurang 500 meter," jelas beliau kepada media selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani sempena Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 di Masjid Al-Mutaharrah di sini, pada Ahad.

Menurut Hassan, sebelum ini kerajaan persekutuan hanya membina kepala jeti bernilai RM500 ribu manakala struktur jambatan hanya menggunakan kayu. 

Namun, ekoran aduan penduduk berkaitan keadaan jambatan terbabit yang uzur menyebabkan Hassan menggunakan peruntukan ADUN untuk membina semula jambatan kayu pada Jun lalu.

"Berdasarkan aduan orang-orang kampung, untuk tindakan jangka masa pendek, saya terpaksa mengeluarkan peruntukan ADUN saya untuk membuat struktur sementara dan siap dalam tiga bulan lepas,” ujarnya.

Selain itu, Hassan turut mengajukan permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri untuk mendapatkan peruntukan termasuk membawa isu itu ke Dewan Negeri (DUN) memandangkan jeti utama berkenaan memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk di pulau berkenaan.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama