Usah berselindung di sebalik maruah atas kegagalan Langkah Kinabalu, Bung diberitahu

 

PETALING JAYA: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, disaran berhenti memainkan isu maruah bagi mempertahankan tindakan 'Langkah Kinabalu' yang bertujuan menyingkirkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog, Ceasar Mandela Malakun, berkata Bung tidak sepatutnya terus mengangkat langkah politik itu sebagai sesuatu yang wajar dibanggakan, sedangkan ia jelas menunjukkan kegagalan strategi.

"Jika benar Hajiji gagal sebagai ketua kerajaan negeri seperti didakwa, maka tindakan paling bermaruah adalah membawa usul undi tidak percaya di peringkat awal di Dewan Undangan Negeri (DUN), lebih-lebih lagi apabila Speaker juga dilantik daripada kalangan UMNO.

"Langkah itu jauh lebih berprinsip dan telus berbanding cubaan rampasan kuasa yang tidak berjaya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Bung menyatakan kesediaannya untuk berdebat berhubung 'Langkah Kinabalu', dengan menegaskan bahawa tindakan itu bukan satu bentuk pengkhianatan, sebaliknya reaksi terhadap kegagalan kepimpinan Hajiji.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu juga mendakwa Hajiji memperdayakan beliau ketika pembentukan Kabinet negeri apabila berlaku pertukaran portfolio tanpa pengetahuannya.

Mengulas lanjut, Ceasar menjelaskan bahawa pelantikan anggota Kabinet negeri adalah hak prerogatif ketua kerajaan, dan Bung sepatutnya akur dengan keputusan tersebut.

Tetapi, katanya, Bung beranggapan Kementerian Kerja Raya lebih bergaya berbanding Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan. 

"Justeru, beliau berang selepas portfolio tersebut tidak diberikan kepadanya seperti yang didakwa telah dijanjikan.

"Sedangkan Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang menukar portfolio dengan Bung, langsung tidak memperbesarkan perkara itu sehingga hari ini," katanya.

Beliau berkata, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, UMNO meletakkan calon di 41 kerusi, berbanding persetujuan awal untuk hanya bertanding di 27 kerusi bersama GRS dan PBS.

"Kita biarkan sahaja perkara itu berlaku walaupun jelas melanggar persefahaman. Mujur kita berjaya menewaskan Warisan ketika itu.

"Tetapi sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Bung terus mempertikaikan pelantikan itu, kononnya beliau dijanjikan jawatan Menteri Kerja Raya," katanya.

Menurut Ceasar, jika benar Hajiji menipu UMNO Sabah seperti didakwa, sudah tentu parti itu tidak akan diberikan tiga jawatan menteri penuh dalam Kabinet negeri, selain ramai pemimpin dan ahlinya turut dilantik sebagai pembantu menteri serta memegang jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Qhazanah Sabah Bhd.

"Sebaliknya, kegagalan 'Langkah Kinabalu' membawa rahmat tersembunyi kerana selepas Bung berundur, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) berjaya membawa kestabilan politik di negeri ini.

"Keadaan itu seterusnya membolehkan pelaburan asing bernilai berbilion ringgit masuk ke Sabah, sekali gus mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama