Kerajaan negeri sentiasa ambil berat keperluan rakyat - Hassan

Hassan ketika berucap merasmikan Program JIWA Madani sempena Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 di Masjid Al-Mutaharrah Kg. Sungai Tongkang.

TAWAU:   Kerajaan negeri hari ini sentiasa mengambil berat keperluan dan kemaslahatan masyarakat di seluruh kampung di seluruh Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata pelbagai inisiatif telah disalurkan kepada rakyat untuk mensejahterakan rakyat dan memelihara keharmonian.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita telah dapat melihat bermacam-macam inisiatif yang diberikan semata-mata untuk menyantuni ataupun memenuhi keperluan rakyat di kawasan ini supaya  rakyat dalam keadaan harmoni. 

"Begitu juga inisiatif-inisiatif daripada kerajaan persekutuan yang dibawa turun ke seluruh pelosok di negara ini," katanya ketika merasmikan Program JIWA Komuniti Madani sempena Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 di Masjid Al-Mutaharrah Kg. Sungai Tongkang dekat sini, pada Ahad.

Ketika berucap, Hassan turut menasihatkan seluruh ahli komuniti Madani agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

"Apabila kita mendengar berita yang tidak sahih, berita yang kurang tepat, kurang jelas janganlah kita sebarkan sebelum kita mendapat maklumat yang tepat. 

"Saya menasihatkan kepada komuniti di kawasan kampung ini, kalau ada maklumat yang mungkin bagi sesetengah pihak maklumat itu ada kepentingan untuk mereka, tetapi percayalah  selagi maklumat ini belum ada kesahihannya, janganlah kita sebarkan," katanya.

Majlis yang bermula selepas solat fardhu Maghrib berjemaah itu dihadiri kira-kira 70 ahli Komuniti Madani Pulau Sebatik dan ceramah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah dan Maulidur Rasul SAW 1447H/2025H.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan, Pengarah Kanan (Pengurusan) JAPEN Naim Fahmi Ahmad Tajuddin, Pengerusi Komuniti Madani Pulau Sebatik Amsin Rasid dan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama