PN mungkin jalin kerjasama dengan WARISAN hadapi PRN Sabah - Takiyuddin

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama politik dengan Parti Warisan (WARISAN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan akan berlangsung bila-bila masa pada tahun ini.

Memetik sumber Sinar Harian, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan perkara terbabit tidak mustahil berlaku dalam landskap politik semasa.

“PN akan bertanding atas tiket gabungan. Kita tidak akan bergerak secara solo kerana parti yang bertanding sendirian sudah tidak relevan. Sebab itu, kita lihat parti-parti kecil turut menyertai gabungan.

“Walaupun begitu, kemungkinan kerjasama dengan WARISAN tetap ada kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku, lebih-lebih lagi PRN Sabah belum diumumkan tarikh pembubarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Larian Batik Kota Bharu Bandar Selamat 2025 bertempat di Dataran Muhammadi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung PAS berkata, kepimpinan parti telah mengarahkan peringkat negeri mengenal pasti calon berpotensi.

Walau bagaimanapun, menurutmya keputusan akan dimuktamadkan oleh PAS Pusat.

“Pembahagian kerusi masih dalam rundingan, kita belum boleh sahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana ia bergantung kepada kekuatan parti di Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tetap optimis bahawa peluang untuk PAS memenangj kerusi di Sabah ada dalam PRN akan datang.

“Kalau berjaya menang satu kerusi pun sudah dianggap kejayaan 100 peratus. Setakat ini, kita hanya mempunyai seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dilantik, iaitu Pesuruhjaya Pas Sabah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama