![]() |
| Gambar ihsan Bomba |
LAHAD DATU: Dua kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 16 tahun berada dalam keadaan kritikal selepas dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Rindu, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kedua-dua mangsa yang sedang mandi di pantai dilaporkan hampir lemas sebelum berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga yang berada berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.26 tengah hari dan sebuah jentera bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, didapati kejadian benar berlaku dengan kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar oleh ahli keluarga," katanya
Mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan persendirian.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.37 petang," ujarnya lagi.
