50,000 pengunjung dijangka meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini

KOTA KINABALU: Lebih 50,000 pengunjung dijangka bakal membanjiri Jalan Tun Fuad Stephens bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini.

Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 berkata, berdasarkan pengalaman tahun lalu, orang ramai sudah memenuhi kawasan berhadapan Hotel Promenade itu seawal enam pagi. 

“Lokasi itu menjadi pusat utama sambutan kerana ruangnya yang luas dan selesa. Saya yakin tahun ini lebih ramai hadir bagi menyaksikan perarakan serta pelbagai persembahan menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah tahun ini di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Masidi memaklumkan bahawa sambutan kali ini bakal lebih istimewa dengan penyertaan 157 kontinjen daripada 10 kategori yang melibatkan berbagai pasukan termasuklah unit beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta persatuan masyarakat.

“Tahun ini juga buat pertama kalinya, acara perbarisan akan turut disertai oleh kontinjen pemilik skuter dengan kira-kira 50 penunggang akan membentuk formasi khas,” jelasnya. 

Sementara itu, Sambutan Hari Sabah pula akan dilangsungkan pada sebelah malam bertempat di Padang Merdeka. 

Masidi berkata, kesinambungan dua perayaan itu bukan sahaja memperkukuh semangat patriotisme, tetapi juga menjadi simbol kesatuan rakyat Sabah dalam menyemarakkan kecintaan kepada negeri dan negara.

“Saya menyeru agar masyarakat datang awal supaya tidak terlepas pengalaman bersejarah ini. Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah adalah cerminan semangat perpaduan kita semua,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman akan menghadiri acara tersebut dengan menerima hormat diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama