Pentarama X kelab Malaysiaku terap semangat patriotisme

 

Edi semasa memberikan ceramah mengenai tatacara Bendera Jalur Gemilang yang betul.

KUDAT: Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar di Pulau Banggi menerusi program Pentarama X Kelab Malaysiaku.

Menerusi program tersebut, para pelajar sekolah rendah dan menengah diberi pendedahan dan informasi berkenaan pentingnya semangat patriotisme dalam diri di samping berhibur dengan persembahan artis Pentarama.

Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi terpilih menjadi lokasi program yang diadakan pada Selasa itu.

Dengan jumlah warga sekolah seramai 351 orang yang terdiri daripada 313 orang pelajar, 31 tenaga pengajar dan tujuh kakitangan bukan mengajar, SK Karakit menjadi sekolah pertama program berkenaan diadakan.

Guru Besar SK Karakit Amir Hamzah Bantilan berkata program seperti ini dapat membantu dalam memupuk rasa cinta kepada negara khususnya kepada pelajar yang jauh dari pusat bandar seperti Pulau Banggi.

"Saya bagi pihak SK Karakit mengucapkan jutaan terima kasih di atas wujudnya program daripada Jabatan Penerangan dimana melalui program ini kita dapat melihat nilai-nilai patriotik yang akan cuba diterapkan kepada pelajar-pelajar kita di sekolah ini.

"SK Karakit ini jauh di pulau dan memang susah untuk kita adakan program seperti ini, jadi kita sangat menghargai kerjasama daripada JAPEN yang sanggup bersusah payah dengan komitmen yang tinggi untuk hadir ke sini dan pihak sekolah turut mengharapkan agar objektif kita tercapai dalam usaha menerapkan semangat patriotik mereka dalam bulan kemerdekaan pada tahun ini.

Bagi Pengetua SMK Banggi Killy Otalahid pula berharap program sebegini mampu menyemarakkan semangat kesetiaan kepada negara di kalangan remaja di sekolah tersebut sehingga mereka menjadi dewasa.

"Saya berharap semangat patriotisme ini di mana kedaulatan dan kesetiaan pada negara dalam diri murid itu diamalkan dan terus bersemarak di hati mereka sampailah dewasa, jadi itulah harapan saya kesetiaan sebenar pada negara," ujar beliau.

Antara pengisian program tersebut termasuklah ceramah berkenaan isu semasa dan masalah sosial di kalangan remaja yang disampaikan oleh ASP Judip Barandy dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat.

Selain itu, wakil Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi turut menyampaikan ceramah mengenai media sosial di samping ceramah kenegaraan oleh Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Pembangunan Masyarakat Edi Rizam Kassim mewakili JAPEN.

Turut diadakan pertandingan kuiz kenegaraan yang diselangi dengan persembahan artis Pentarama, dilihat mampu memberikan peluang kepada para pelajar tersebut menambah pengetahuan di samping berhibur.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama