KOTA KINABALU: Seramai 200 atlet dari kontinjen Sabah bakal berentap pada kejohanan sukan Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) Peringakat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung, September ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Pendidikan, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif berkata, penyertaan itu dianggap sebagai satu kebanggaan buat negeri ini.
Menurutnya, ia jelas membuktikan kesungguhan Sabah dalam melahirkan atlet berbakat dan berkualiti tinggi.
“Tahun lepas kita sudah johan dan saya yakin kita juga boleh mampu mempertahankan apa yang telah kita capai pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Amanat dan Penyerahan Bendera Sabah kepada Kontinjen (IJPAM) Sabah bertempat di Raia Hotel, di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa sukan tersebut merupakan wahana untuk memupuk persabahatan, persaudaraan serta menjadi medan perkongsian ilmu.
“Saya menyeru kepada pasukan Sabah sgar menjaga nama baik negeri dan jadikan ini sebagai wadah untuk mengeratkan silaturrahim di antara agensi agama yang lain,” tambahnya.
