Penganjur Justice For Zara Sipitang kesal pemasangan kain rentang dipolitikkan

 

SIPITANG: Penganjur Justice For Zara Sipitang mengecam keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan video suntingan berunsur fitnah berkaitan pemasangan kain rentang di pekan ini.

Sekretariatnya, Pengiran Junaidi Pengiran Haji Tinggal, berkata perbuatan itu jelas bermotifkan cubaan memburukkan pihak tertentu serta mempolitikkan isu yang sepatutnya menjadi agenda bersama demi menegakkan keadilan.

“Isu berkaitan arwah adik Zara Qairina bukan ruang untuk meraih keuntungan politik atau mencetuskan polemik murahan. 

"Penyebaran video mengelirukan hanya mencemarkan perjuangan solidariti yang sedang dibina rakyat,” katanya dalam kenyataan, semalam. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin atas sokongan terhadap pemasangan kain rentang itu sebagai tanda solidariti bersama keluarga arwah dan rakyat yang menuntut keadilan.

Katanya, semua pihak perlu kekal fokus kepada matlamat asal gerakan berkenaan, iaitu menegakkan kebenaran, memastikan keadilan kepada arwah Zara Qairina serta menjaga maruah semua pihak yang terlibat.

“Jangan sekali-kali memainkan isu ini demi kepentingan tertentu. Biarlah perjuangan Justice For Zara kekal murni, bersih dan berpaksikan prinsip kemanusiaan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama