Lebih 10,000 bersolidariti Justice for Zara Qairina di Padang Merdeka

KOTA KINABALU: Seramai lebih 10,000 orang berhimpun di Padang Merdeka bagi menyatakan solidariti terhadap kes melibatkan Allahyarham Zara Qairina, malam tadi. 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata jumlah kehadiran itu turut disertai wakil dari pelbagai daerah seperti Semporna, Lahad Datu dan Sipitang.

“Yang saya difahamkan, di setiap daerah juga diadakan perhimpunan seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Solidariti Zara Qairina, di sini. 

Menurutnya, beliau bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kota Kinabalu hadir bagi memberi sokongan ihsan kepada keluarga dan semua yang terkesan dengan kejadian itu.

“Kami memberikan sokongan kerana kejadian sedih seperti ini sangat tidak adil dan kami meminta pihak kerajaan meneliti semula sistem pendidikan sedia ada.

“Terutamanya pelajar di sekolah berasrama kerana mereka berada jauh daripada rumah. Kami ingin mereka menerima pendidikan dalam keadaan rasa selamat, dan saya berharap pihak berkaitan memandang serius perkara ini,” tegasnya.

Christina berkata, kehadiran ribuan orang semalam turut menunjukkan masyarakat sudah penat dengan kejadian seumpama itu.

“Saya percaya, insiden ini menyentuh hati semua orang, terutama ibu bapa yang tidak mahu perkara sama menimpa anak-anak mereka,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama