Pemimpin muda aset masa depan negeri- Christina

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menghimpunkan pelajar dari seluruh negeri menerusi Gabungan Presiden - Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti dan Kolej Sabah (UYLS) tahun ini, yang disifatkan sebagai aset berharga dalam mencorakkan masa depan negeri. 

Menterinya, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, ia merupakan kali pertama organisasi yang menghimpunkan pemimpin muda itu berjaya ditubuhkan.

Menurut beliau, ia sekali gus menjadi platform penting untuk mereka menyuarakan pandangan serta memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri.

“Saya ingin terus berhubung dengan mereka pada masa hadapan. Apa sahaja yang kita boleh lakukan dari pihak kerajaan, kita mahu mereka bergabung. Sabah memerlukan orang muda seperti ini,”katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pesta Seni bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC), di sini, hari ini.  

Beliau menambah, selepas menamatkan pengajian, generasi muda ini diyakini akan menjadi tenaga penting dalam membangun negara, khususnya *negeri* Sabah.

“Mereka adalah pemimpin masa depan yang bukan sahaja terhad kepada politik, tetapi juga dalam bidang pendidikan, profesional, doktor, peguam, dan apa sahaja yang mereka pilih,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama