![]() |
Orang awam mulai membanjiri Jalan Tun Fuad Stephens seawal pagi dengan kehadiran luar biasa |
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 yang berlangsung penuh semangat patriotik hari ini mencatatkan kehadiran luar biasa apabila lebih 50,000 pengunjung membanjiri Jalan Tun Fuad Stephens sejak awal pagi.
Majlis gilang-gemilang itu turut diserikan dengan keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman, bersama isteri.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, barisan menteri Kabinet Negeri.
Perarakan berwarna-warni membabitkan 169 kontinjen daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta berjaya mencuri perhatian orang ramai.
Antara yang menjadi tumpuan ialah persembahan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selain persembahan kebudayaan khas bertemakan Malaysia Madani: Rakyat Disantuni, yang mengangkat semangat perpaduan serta aspirasi Sabah Maju Jaya sebagai sebahagian daripada gagasan Malaysia Madani.
Turut mencuri perhatian perarakan Jalur Gemilang gergasi bersaiz 12 kali 24 kaki, diiringi pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM), TLDM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah.
Sambutan kali ini bukan sahaja mencerminkan kecintaan rakyat terhadap negara, malah menjadi platform memperkukuh semangat patriotisme dan penyatuan dalam kepelbagaian masyarakat di Sabah.