ABM Sabah lengkap fasiliti moden, Hab latihan TVET lahirkan tenaga kerja mahir tempatan



PAPAR: Projek pembinaan Kampus baharu Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah di Beringgis, Papar bernilai RM130 juta, dimulakan secara rasmi hari ini menerusi majlis pecah tanah yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah bersama Menteri Kerja Raya, di sini hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kampus itu bakal menjadi antara yang termoden di negara ini serta berperanan sebagai hab latihan TVET dalam melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga buruh asing dalam industri pembinaan.

"Projek ini melibatkan kos RM130 juta dengan kemudahan lengkap untuk melatih mereka yang berminat dalam industri pembinaan.

"Ia akan menyediakan modul kursus pelbagai bagi membentuk tenaga kerja mahir, sekali gus membantu kita berdepan cabaran sektor pembinaan masa depan," katanya.

Kampus berkenaan dibangunkan di atas tapak seluas 34 ekar dengan konsep ekokampus serta dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Nanta menjelaskan, pembinaan menggunakan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan Industrialised Building System (IBS) membolehkan projek itu disiapkan lebih cepat walaupun berskala besar.

Kampus baharu itu bakal dilengkapi blok akademik, bengkel latihan, asrama, kompleks sukan, surau dan fasiliti digital, selain mampu menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa.

Sejak 2001, ABM Wilayah Sabah berjaya melatih hampir 200,000 tenaga kerja. Dengan siapnya kampus baharu kelak, kapasiti latihan dijangka meningkat sehingga 73 peratus.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama