KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik laman media sosial TikTok dengan nama akaun @berjuanguntukzara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata akaun terbabit dikenal pasti oleh pihaknya telah memuat naik kandungan yang tidak tepat dan sahih berkaitan kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
"Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian dan kandungan yang mempunyai kencenderungan menghasut kebencian terhadap mana-mana pihak serta boleh menyebabkan kegusaran dan kegentaran awam.
"Sehubungan itu, PDRM menyeru orang awam agar menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata penularan kandungan tidak sahih tersebut berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan oleh pihaknya.