Kes Zara: Hormati peranan netizen guna media sosial cari kebenaran - Razali

 

KOTA KINABALU: Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi mengiktiraf peranan netizen yang menggunakan laman media sosial untuk menuntut penjelasan bagi menuntut keadilan berkaitan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Walau bagaimanapun, beliau turut mengingatkan agar orang ramai yang menggunakan laman media sosial untuk tidak terjebak dengan spekulasi sehingga berpotensi menjejaskan proses siasatan oleh pihak berkuasa.

Katanya, netizen yang menggunakan media sosial untuk mencari kebenaran wajar dihormati, tetapi pihak yang menunggang isu ini demi populariti tidak sepatutnya mengambil kesempatan.

“Kita harus memberikan sokongan emosi kepada keluarga dan tidak menjadikan ini sebagai platform politik untuk menunjukkan kita relevan.

"Apa yang kita mahu adalah kebenaran. Tetapi pada akhirnya, jangan berspekulasi kerana kebanyakan maklumat yang kita terima datang daripada media sosial yang belum disahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil, Doa Kesejahteraan dan Solat Sunat Hajat bagi Allahyarhamah di Masjid Al Munir, Kampung Darau, semalam.

Razali yang juga seorang peguam turut menegaskan bahawa inkuiri (inkues) adalah proses penting bagi mendedahkan fakta sebenar kes tersebut.

“Apabila ada inkues, semuanya akan terdedah. Kita harap inkues ini akan memberikan jawapan dan kebenaran yang sebenar,” katanya.

Mengulas mengenai peranan pentadbiran sekolah, beliau berkata, sistem sedia ada perlu dinilai semula.

“Jika sistem itu longgar, ia perlu diperketatkan. Kita perlu memandang isu ini dengan serius, tetapi jangan dipolitikkan sehingga ada yang mahu menjadi hero. Lihatlah daripada sudut yang lebih luas,” tambahnya.

Tegasnya lagi, beliau tidak mahu membuat tuduhan tanpa bukti kukuh.

“Kita berpegang pada bukti, bukan andaian. Setakat ini, elemen buli yang diperkatakan hanyalah berdasarkan cerita di media sosial, dan ia belum disahkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang asrama sekolah pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.

Zara disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menjalankan dua bentuk siasatan berhubung kematian Zara Qairina yang melibatkan aspek inkues bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan jenayah berkaitan perbuatan buli.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata dua bentuk siasatan terbabit akan dilakukan pihaknya secara menyeluruh berdasarkan prosedur undang-undang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama