![]() |
Datuk T Murugiah (tiga dari kiri) sewaktu ditemui media selepas Konvensyen Perwakilan Negeri Sabah Yang Ke-2, di Putatan |
PUTATAN: Kaum India di Sabah wajar diberi peluang memiliki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiri pada masa akan datang bagi menjamin kebajikan dan kepentingan komuniti itu terus terbela.
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, berkata walaupun jumlah masyarakat India di negeri ini tidak begitu ramai serta tinggal berselerak di beberapa kawasan, namun wujud keperluan untuk mereka diberi ruang dalam sistem politik Sabah.
Menurutnya, jika masyarakat India tertumpu di sesuatu kawasan bercampur kaum dan mendaftarkan diri sebagai pengundi, tidak mustahil akan lahir seorang wakil rakyat daripada MIC untuk mewakili suara mereka.
"Mungkin di masa akan datang, kerajaan boleh berfikir supaya parti yang kami sertai nanti dapat membantu menjaga kebajikan dan keperluan orang India di Sabah.
"Negara kita berbilang kaum. Kalau kaum Cina yang asalnya juga dari Semenanjung boleh ada kerusi di Sabah, kenapa orang India tidak boleh ada kerusi sendiri?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen MIC Negeri Sabah Ke-2 di Putatan, semalam.
Murugiah menegaskan, MIC sentiasa komited untuk turun padang membantu rakan parti gabungan, termasuk memberi sokongan kepada calon yang sehaluan dengan perjuangan parti itu.
"Apabila DUN dibubarkan nanti, MIC akan turun padang membantu parti-parti bersama kami serta calon yang menyokong MIC," katanya lagi.