3 pasangan kantoi ‘Check-in’ malam merdeka

 

LAHAD DATU: Hasrat tiga pasangan kekasih untuk ‘check-in’ dan berasmara di malam merdeka terbantut apabila dicekup dalam Ops Bersepadu di beberapa hotel sekitar bandar ini, tengah malam tadi.

Lebih mengejutkan, salah seorang lelaki yang dicekup adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah beristeri, manakala pasangannya pula seorang janda.

Operasi yang dijalankan bermula jam 9 malam hingga 1 pagi itu dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi Ariffin berkata, pihaknya memeriksa lebih 60 bilik di 10 hotel sebelum menemui tiga pasangan berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, kami turut merampas beberapa barangan seperti kondom, tisu magik dan cecair pelincir yang dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral.

“Kami mengingatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan zina dan tidak melakukan kesalahan jenayah syariah,” katanya ketika ditemui.

Kesemua pasangan yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 84 (Khalwat) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah No 3/1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Wanita yang ditahan juga berdepan kemungkinan ditempatkan di rumah kebajikan sehingga tiga tahun, bergantung kepada keputusan mahkamah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama