![]() |
Masidi sewaktu sidang media khas Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di Kota Kinabalu. |
KOTA KINABALU: Kesilapan teknikal ketika mengibarkan Jalur Gemilang tidak wajar diperbesarkan kerana ia berlaku tanpa niat dan sememangnya sifat semula jadi manusia untuk melakukan kesilapan.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perkara itu perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan menilai semangat patriotisme yang dizahirkan, bukannya kesalahan kecil ketika mengibarkan bendera.
"Saya tidak fikir ia disengajakan. Manusia tidak sempurna, kadang-kadang buat kesilapan. Kita patut lihat gambaran lebih besar iaitu usaha mengibarkan Jalur Gemilang.
"Kalau tidak dilakukan dengan tujuan tertentu, kita tidak wajar menganggapnya sesuatu yang besar," katanya.
Beliau turut memberi contoh Amerika Syarikat yang masih berdepan kesilapan teknikal dalam pengibaran bendera biarpun lebih 200 tahun merdeka.
"Saya lihat di Amerika, selepas 200 tahun merdeka, masih ada yang tersalah kibarkan bendera. Itu kesalahan tidak disengajakan dan semula jadi sebagai manusia.
"Kita perlu lihat gambaran lebih besar, tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya.
Masidi berkata demikian pada sidang media khas sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 peringkat negeri, di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini.