10 cedera termasuk kanak-kanak kemalangan 4 kenderaan

Gambar ihsan Bomba

TAMPARULI: Seramai 10 individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Tamparuli-Ranau, Kampung Minangkop, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, kenderaan terbabit ialah dua pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Vigo, sebuah Suzuki Jeep dan sebuah Toyota Vios.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.33 tengah hari sebelum 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati seorang lelaki berusia 35 tahun yang memandu Toyota Vios tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan anggota bomba.

"Mangsa mengalami kecederaan parah, manakala sembilan lagi mangsa lain hanya cedera ringan," katanya.

Kesemua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi oleh pasukan perubatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, kesemua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans EMRS, KKM dan APM untuk rawatan lanjut.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.42 petang selepas anggota bomba memastikan keadaan lokasi selamat," ujarnya lagi.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama