BN Sabah mahu wujudkan ‘Tabung Kekayaan’ jika diberi mandat - Bung

KOTA KINABALU: Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bercadang untuk mewujudkan 'Tabung Kekayaan Rakyat Negeri Sabah' untuk rakyat negeri ini sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun ini.

Katanya, cadangan ini disifatkan penting untuk dilaksanakan berikutan negeri Sabah yang terpalit dengan tuduhan rasuah berkaitan penerokaan mineral sehingga menggusarkan rakyat sekaligus kepercayaan mereka terhadap kerajaan semakin terhakis.

"Sebab itu kita bertekad untuk menambah nilai pendapatan di Sabah ini melalui mineral ini.

"Kita akan melakukan secara telus dan mengwujudkan satu badan khas di bawah yayasan Sabah untuk menerokai mineral ini. 

" Kita akan mewujudkan satu tabung diberi nama Tabung Kekayaan Rakyat Negeri Sabah. Ini akan kita wujudkan dan keuntungan itu nanti akan kita pulangkan kepada rakyat Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video sesi temu bual bersama portal media tempatan yang dimuat naik dalam laman media sosial.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga merupakan Ketua UMNO Sabah juga berkata keikhlasan pemimpin adalah aspek penting untuk membangunkan negeri dan rakyat.

"Apa yang penting pada saya keikhlasan pemimpin. Bukan soal siapa kerajaan sebab kerajaan itu sendiri pun kalau tidak ada komitmen untuk membangun rakyat, tidak mengubah tujuh nasib rakyat Sabah.

" Akhirnya Sabah ini akan terus menjadi negeri termundur dan termiskin. Sampai bila-bila enam puluh lebih tahun.

"Bayangkan. Jadi saya memang bertekad dengan rakan-rakan untuk merubah keadaan ini, membawa Sabah ke mercu kejayaan yang lebih baik daripada negeri-negeri yang lain," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama