KOTA KINABALU: Pejabat Mufti Sabah menafikan dakwaan Mufti Sabah dan Timbalan Mufti Sabah terhidu haruman jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir semasa proses penggalian semula kubur pada bulan lepas.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata dakwaan tular menerusi video 'Penggali Kubur' pada 28 Ogos lepas di laman media sosial itu disifatkan sebagai fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti Negeri Sabah.
"Pejabat Mufti Negeri Sabah dengan ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan bahawa Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti terhidu haruman pada jenazah (video) berdurasi 46 saat, dan kenyataan tersebut merujuk pada saat ke 8 hingga 20.
"Ia adalah tidak benar, tidak berasas, dan boleh mencemarkan nama baik institusi kemuftian negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan beliau dan Timbalan Mufti Sabah tidak terlibat semasa proses penggalian semula jenazah Zara Qairina dilakukan seperti yang didakwa oleh penggali kubur tersebut.
"Pihak yang terlibat diminta menarik balik penyataan tersebut serta memohon maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang dilaksanakan.
"Oleh yang demikian, Pejabat Mufti Negeri Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
"Turut dijelaskan bahawa tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan di dalam video tersebut.
"Pejabat Mufti Negeri Sabah berharap agar kenyataan ini dapat menjelaskan kedudukan sebenar dan menghentikan sebarang salah faham berkaitan isu berkenaan," katanya.