KINABATANGAN: Gagasan Rakyat menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang menuduh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan gagal disifatkan sebagai helah politik yang menutup kelemahan sendiri.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lamag, Johainizamshah Johari berkata Suhaimi disifatkan tidak layak berkata demikian berikutan masalah asas rakyat di kawasan yang diwakilinya, Libaran masih ketinggalan jauh.
“Air masih kering, rakyat Libaran terpaksa menyimpan air dalam tong. Konon janji tangki besar siap 2026, tapi empat tahun apa kerja sudah dibuat? Sekolah pun masih daif, 16 buah sekolah di Libaran tiada kemudahan asas.
"Hospital Sungai Manila pula janji tinggal janji .. mana hospital itu? Rakyat terus sesak, pesakit tidur di koridor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata masalah infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan capaian internet juga masih berada di tahap kurang memuaskan.
“Zaman orang bincang 5G, Libaran masih 'blackout" dan internet lambat. Apa kerja Yang Berhormat (Suhaimi)? Sibuk ambil gambar di media sosial atau betul-betul ambil tindakan?” katanya.
Beliau menegaskan, kenyataan Suhaimi yang mendakwa GRS gagal sama sekali tidak berasas kerana pentadbiran negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terbukti berjaya memperkukuh ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Pendapatan negeri naik kepada hampir RM7 bilion, rizab negeri mencecah RM8.7 bilion – tertinggi dalam sejarah Sabah. Sebanyak 400 inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dilancar, 94 peratus daripadanya sedang berjalan.
"Bantuan kebajikan berjumlah RM1.49 bilion dan Program Sentuhan Kasih RM385.5 juta sudah sampai kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, isu infrastruktur asas bukan masalah ciptaan GRS, sebaliknya warisan puluhan tahun yang kini sedang diatasi kerajaan negeri secara serius.
“GRS mempercepatkan Pan Borneo, menaik taraf loji air dan mengukuh bekalan elektrik luar bandar.
"Ini projek mega yang ambil masa dan modal besar. Bukan kerja boleh siap sekelip mata seperti janji manis Suhaimi,” katanya.
Johainizamshah turut mengingatkan berkaitan soal integriti kepimpinan berikutan terdapat pihak yang cuba menggambarkan kononnya GRS tidak bersih.
“Kami mahu tanya semula – ketua parti mana yang kini berdepan kes mahkamah? Hajiji bersih, tiada rekod mahkamah. Itu fakta. Jangan putar cerita untuk alihkan perhatian,” katanya.
Beliau menegaskankan, rakyat sudah cukup matang menilai siapa sebenarnya gagal.
“GRS bukan kerajaan gagal. GRS kerajaan yang bekerja dengan bukti, bukan janji kosong. Kalau Suhaimi kata GRS gagal, jawapan kami jelas – Suhaimi lagi gagal urus kawasan sendiri.
“Rakyat Sabah tahu siapa benar-benar turun padang bekerja, dan siapa yang hanya pandai berjanji tetapi tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
