KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri (one-off) kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), hari ini.
Menurutnya, pemberian dari pihaknya sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup yang ditanggung rakyat.
Selain itu, ia juga merupakan penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Mengulas lanjut, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini dimana ia merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
"Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya di seluruh negara.
"Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman penghargaan yang disiarkan secara langsung, hari ini.