Insiden pelajar terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah, ibu Zara Qairina tuntut siasatan telus dan adil

Ibu kepada Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat menunjukkan gambarnya bersama anak perempuan tunggalnya.

SIPITANG: Ibu kepada pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah di Papar, baru-baru ini menuntut agar siasatan telus, adil dan saksama dilakukan mengenai kes itu.

Insiden membabitkan pelajar berasal dari Sipitang itu dipercayai turut dikaitkan dengan insiden buli dalam kalangan pelajar di sekolah terbabit.

Noraidah Lamat, 45, ketika menceritakan detik terakhir bersama anak tunggalnya itu, beliau membawa Zara balik ke rumah pada hari 12 Julai dan keesokan harinya, beliau menghantarnya pulang semula ke asrama.

"Keesokan harinya saya hantar ke asrama. Ketika saya mahu hantar ke asrama, anak saya kata dia mahu pulang lambat-lambat.

"Tapi saya tidak mengesyaki apa-apa. Sekitar jam satu petang, saya kata kita harus cepat jalan (balik ke asrama). Paling lewat (waktu pulang asrama) mesti sampai jam 3:30 petang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kalamauh, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Noraidah turut memberitahu pada hari Ahad sebelum anak perempuannya itu balik ke asrama, Zara sempat memasak roti telur.

"Itu makanan terakhir yang dia bawa, yang dia masak di rumah saya .. saya hairan pada masa itu. Dia memasak (roti telur) itu untuk kami," katanya.

Noraidah turut berkata beliau berharap siasatan yang menyebabkan kematian Zara dapat dilaksanakan dengan telus dan adil.

"Saya mahu kes ini disiasat dengan telus, adil dan saksama, dan tidak menyembunyikan sesuatu yang tidak betul." katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif merangkap Exco Pendidikan berkata pihaknya memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis agar siasatan berkaitan kes itu dilaksanakan.

“Kita akan bantu sehabis baik. Saya dimaklumkan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh, dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkannya,”

Beliau yang mengunjungi Noraidah semalam turut jadi menyampaikan sumbangan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebanyak RM10,000 disamping beberapa sumbangan tunai lain.

Turut hadir dalam sesi kunjungan itu, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Dalam perkembangan lain, media melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata KPM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung insiden itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka dilaporkan pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian Zara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama