Sabah tanggung yuran MUET pelajar tingkatan enam menerusi inisiatif BAYU - Arifin

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyediakan bantuan kewangan menerusi inisiatif Bantuan Yuran Peperiksaan MUET (BAYU) untuk pelajar negeri ini yang menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) secara percuma.

Menteri Teknologi Sains dan Teknologi, Datuk Arifin Mohd Arif, berkata bantuan itu sebahagian daripada usaha pihaknya dalam membantu pelajar tingkatan enam agar tidak terbeban dengan kos peperiksaan penting seperti MUET.

“Sebelum ini, anak-anak kita perlu membayar sendiri untuk menduduki peperiksaan ini. Tetapi kini, menerusi BAYU, yuran tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Majlis Penyampaian Inisiatif Bantuan Pendidikan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) bertempat di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah, di sini, hari ini. 

Menurut beliau, inisiatif BAYU merupakan pelengkap kepada kesemua program pendidikan sedia ada seperti SENTOSA, iaitu bantuan tambang balik kampung sebanyak RM300 secara One- Off kepada pelajar di Sabah. 

“SENTOSA telah memberi manfaat kepada lebih 17,000 pelajar, dan GRS Supply kepada 18,000 pelajar di luar negeri ini. Semuanya adalah bukti keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban anak-anak kita,” ujarnya.

Arifin menambah bahawa sehingga kini, sebanyak 13 hingga 14 inisiatif pendidikan dilaksanakan kerajaan negeri dengan peruntukan melebihi RM70 juta telah meliputi aspek kebajikan, mobiliti pelajar, dan pembangunan akademik.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa ada lagi inisiatif sedang dirancang dan akan diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah nanti. 

“Banyak lagi inisiatif akan kita laksanakan untuk anak-anak kita, Insya-Allah akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri,” katanya.

Dalam majlis yang sama seramai lebih 600 pelajar menerima bantuan SENTOSA yang membabitkan 319 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan 323 pelajar kolej MAHSA Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama