Lebih 150 graduan wanita diraikan dalam majlis AKWan, platform lahirkan barisan pemimpin wanita Sabah

 

KOTA KINABALU: Lebih 150 graduan wanita diraikan dalam Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita Sabah (AKWan) Ke-2 Tahun 2024 yang berlangsung pada hari ini. 

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunann Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong berkata, program tersebut bertujuan untuk melahirkan barisan pemimpin wanita di Sabah yang berilmu dan berwibawa selaras dengan komitmen kerajaan negeri. 

Katanya, pelaksanaan kursus itu merupakan hasil kerjasama Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA). 

“Program seperti AKWan perlu diperluas dan diperkasa, agar lebih ramai wanita Sabah, dilatih dan diberi peluang untuk memimpin,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi mewakili Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib *dalam majlis terbabit yang diadakan* bertempat di Grand Ballroom The Magellan Sutera Resort, di sini.

Sementara itu, beliau turut menambah bahawa kejayaan para graduan bukan sekadar pencapaian peribadi, malah membuktikan wanita Sabah mampu menyumbang secara signifikan dalam sektor politik, ekonomi dan masyarakat.

“Graduan AKWan harus terus mengasah bakat kepimpinan bukan sekadar untuk memberi arahan, tetapi membina pasukan dan memberi inspirasi. Mereka adalah suara wanita Sabah masa depan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar lebih ramai wanita tampil ke hadapan untuk menyertai barisan kepimpinan tertinggi berdasarkan kelayakan, pengalaman dan ilmu yang dimiliki.

“Wanita hari ini, tidak hanya berperanan dalam ruang lingkup kekeluargaan, dan sosial semata-mata,” jelasnya. 

Akademi Kepimpinan Wanita Sabah yang dimulakan sejak 2021 selari dengan sasaran kerajaan negeri untuk mencapai 30 peratus penglibatan wanita dalam jawatan pembuat keputusan, termasuk dalam sektor akar umbi, GLC, dan perkhidmatan awam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama